15 November 2015

Pergi

Tanjung Bungah, 2010
Dan kau pun pergi seperti awan yang tidak pernah kembali.

Sudah aku maklumkan kepada hati.
Aku tak lagi akan mengimbau hatta namamu pabila kurasa bukan aku yang ingin kau bawa mengembara ke negeri hatimu.

Tuhan, ampunkan seluruh alpaku selama ini.

Walaupun awan yang berlalu kadang melintas lagi dengan membawa rombongan air yang amat sejuk tatkala menyentuh hati kita, tapi dia bukan awan yang itu.

Dia awan yang telah pergi kerana berusaha untuk pergi...

Hati manusia sama sahaja. Tak kira pangkat atau darjah.
Justeru sakit dan bahagia itu subjektif.



14 November 2015

Sayang Si Bunga

Pantai Dalam, 2007
Peribadi wanita itu, bilamana dia mampu menyimpan kemas rahsia hati, nama itu biar terindah dalam sanubarinya.

Lalu mereka berkata keras padaku: 'Jangan dibiarkan ia rahsia! Kelak piala jiwa itu akan hilang di alam bunian'

Lantas aku menjawab: 'Biarlah hilang.
Jika itu boleh memberi kebahagiaan kepada banyak jiwa'

Namun, seuntai rasa yang terlukis di piala jiwa harus kuhapus ronanya.

Begitukah mahumu, kasih?

Mudahan Tuhan meringankan beban rinduku pada orang yang aku sayang meski jauh atau dekat yang terpisah



13 November 2015

Dia

Mekah, 2006
Kata mereka serahkan saja hati dan jiwa mu pada yang Khaliq.
Tapi justeru menyerah atau tidak, itu ada di dalam hak ku.

Jika kita sedar, kita akan mencari nur yang jauh.
Terlentang dalam rancu rindu kepada takdir yang sakit tapi manis.

Namun dia.. dia benar tak pernah zalim padaku. Menjadikan ingat kerap bertancap pada dia.

Dan aku sungguh sangat bersyukur
berkesempatan menyimpan ingat ini di dada sukma.

Justeru ingat itu menghantar sedar. Dari sedar itu aku jadi menghargai. Biar pun tidak sampai selintas rasa itu singgah di muara hatimu, kasih.

Aku masih berterima kasih pada Tuhan.. yang memberi rasa ini padaku.



12 November 2015

Di Tanjong Piai

Tanjong Piai, 2007

Maafkan aku..
cuba menyelinap ke ruangmu.

Maafkan aku..
mengasihimu.

Maafkan aku..
menghindarmu.

Tapi aku tetap mendoakan yang terbaik untukmu.
Kerana aku selalu sedar;
Tuhan tidak pernah alpa pada takdir kita.

Mudahan Tuhan merahmatimu an mereka yang kau peduli.
Memberimu kekuatan sabar dan mereka.

Maafkan aku,
mencoret di sini cuma.
 


11 November 2015

Dan ia Terbias di Jauh Sukma

Universiti Malaya, 2007
Waktu ingat semakin buyar di pustaka jiwa, aku berharap kepadaNya.

Kukuhkan hatiku padaMu Allahku..

Jika ingat ini tanda dari insafku, berkatilah aku Tuhan..
Jika ingat ini diberkati, peliharalah hati hati kami, Rabbi.




10 November 2015

Malu

Taman Tasik Perdana, 2006
Bila rindu dan malu bersatu di pialahati, aku diam dari mencoret.
Biarkan waktu melebur atau membesarkan segala jadi kerana aku naif.
Kerana aku mahu mendengar suara di sukmaku yang paling jujur.
Kerana aku mahu kau tahu, aku tidak kuat lagi menanggung beban ini.

Lalu, aku mohon maaf.
Tidak menulis lagi padamu

Kerana aku seperti dapat rasakan rasa bersalahmu.
Dan, bukan aku lupa.




09 November 2015

Menanti

Aku masih menanti walaupun sampai saat ini.
Aku masih berharap dia datang di depan pintu.

Menghadiahi sekuntum senyum.
Aku sambut dan mencium senyumnya, menyimpan di lemarijiwa.

Tetapi, yang datang cuma hujan.
Lebat.

Membawa taufan dan badai.
Membawa malam pengap dan dingin yang ngilu tanpa persis.

Tahulah aku, selama ini dia hanya bergurau dengan rasa. Bermain pada jiwa.
Mahu melihat aku kesasarindu; dalam parah yang dalam.
Dia hanya mahu melihatku seperti dia melihat wayang di kelir.



Tasik

Di tasik itu sukmaku berlagu.

Waktu dia pergi meninggalkan ingat di tasik qalbu, aku katakan kepada hati: 'Berhentilah menyeru namanya. K
erana aku takut pada rindu'


08 November 2015

Alam dan Tuhan

Lhasa, 2015

Semoga kelak, anak anak kita adalah anak anak yang mencintai alam dan akrab sama Tuhan. 

Barangkali kita akan hidup di bandar.. tapi jiwa anak anak begitu suka akan kedamaian dan ketenangan.


Kita akan sama sama mendidik mereka untuk menghargai setiap nikmat kurniaan Tuhan dan menghormati setiap perbezaan budaya dan kepercayaan.


Kita akan membuat mereka meyakini bahawa agama kita tidak judgmental dan begitu indah.


Dan anak anak ini kelak mudah mudahan akan menjadi anak anak yang biar sesibuk apa pun mereka.. tuntutan agama tidak pernah di nombor duakan.

Dan ketika saat ini tiba.. kita berdua sudah boleh tersenyum lega.

Kita akan berkelana mengelilingi dunia..

dan akan menghantar postcard buat ibu ayah dan anak anak untuk kita kisahkan cerita.

Sambil mendoakan yang baik baik untuk kita dan mereka semua.


07 November 2015

Bumi Eropah

Ramai yang sering bertanya. 

Bahkan Ayah juga pernah bertanyakan yang sama.


Mengapa bukan Eropah?


Seringkali aku diam dari menjawab. Dan hanya senyuman sebagai balasan. 


Sebenarnya Eropah itu aku simpan untuk kelak kelana bersama kamu. Mudah mudahan nanti kita boleh sama sama mengembara sambil bertukar pandangan dan memuji muji keindahan alam, kebesaran Tuhan. Bersama sama, kita berdua. 

Dan sekembalinya kelak.. kita akan merancang untuk memberi kebaikan buat anak bangsa kita. 


Iya, bersama sama.. kita berdua. Mudah mudahan