29 August 2014

Bab 32

Saraa,

Bagaimana jika aku lahir jauh lebih dulu darimu, misalnya lima puluh tahun sebelum hari kelahiranmu? Barangkali aku akan menjadi lelaki tua yang sangat bersedih. Sangat bersedih sehingga memutuskan untuk tidak menikah dan menjadi pemurung sepanjang hidupnya.

Sementara kau membesar menjadi anak perempuan yang periang, mungkin aku akan tinggal berhampiran rumahmu, di hujung jalan selang beberapa rumah dari rumah orangtua mu, dan aku akan memerhatikanmu berlarian atau berbasikal atau bermain apa saja setiap hari dengan kawan kawanmu. Tentu saja, aku tidak mampu berbohong tentang ini, aku akan tetap jatuh cinta padamu: mengagumi wajah cantik dan suara indahmu.

Meski kamu tidak akan menyedarinya, meski agak aneh kedengarannya, demikianlah aku ditakdirkan menjadi lelaki yang tidak mampu membohongi perasaannya sendiri.

Jika hal itu terjadi dalam hidup kita. Dalam beberapa hari di usiamu yang ke sepuluh atau kelima belas, mungkin kau akan mendengar khabar bahawa ada seorang lelaki tua yang tinggal sendirian, jiranmu, meninggal dunia dalam tidurnya tanpa seorang pun di sampingnya. Mungkin kamu akan sedih mendengar berita itu, tetapi kamu akan cepat melupakannya. Ah, jika takdir semacam itu yang berlaku dalam hidupku, tentu aku akan menjadi orang paling menyedihkan yang pernah hidup di dunia ini.

Saraa, maafkan aku jika itu merupakan cara yang aneh untuk memberitahumu bahawa aku benar benar mencintaimu, cara aneh untuk bersyukur bahawa kenyataannya kini Tuhan telah berbaik hati, seperti bila saja, menjadikan aku lelaki paling beruntung di dunia kerana memilikimu.

‘Memiliki’ mungkin bukan kata yang tepat. Kau bukan sepenuhnya milikku. Kau milik dirimu sendiri. Tapi bagaimana lagi, aku terlanjur selalu merasa bahawa dirimu adalah bahagian yang tak terpisahkan dari diriku. Seperti Adam yang tiba tiba menyayangi Hawa ketika suatu pagi terbangun di taman syurga dan mendapati perempuan cantik itu tiba tiba telah berada di sampingnya. 

“Dari mana kamu berasal?” Mungkin aku akan bertanya dengan nada yang hairan. 

“Aku diciptakan dari tulang rusukmu,” jawabmu.

Tetapi aku tidak peduli lagi jawapan itu, barangkali, seperti Adam pada Hawa waktu itu, sebab aku telah seketika jatuh cinta padamu dengan cara yang tidak boleh dijelaskan oleh dongeng dan kisah kisah cinta apapun yang pernah ada. Aku menemukan diriku dalam dirimu dan aku tidak memerlukan penjelasan apa apa lagi untuk mencintai dan menyayangimu.

Saraa, kemarin ulang tahun kedua puluh tujuh mu. Maafkan jika aku gagal memberimu kejutan kebahagiaan seperti yang kurencanakan sebelumnya, tetapi, paling tidak, aku sudah berusaha memberikannya. Mudah mudahan kamu boleh menerimanya. Bagiku, mencintaimu adalah semacam usaha yang tidak pernah selesai. Setiap hari terbangun dari tidurku dan mendapati kamu berada di sampingku, aku selalu berkata pada diriku sendiri bahawa aku ingin belajar mencintaimu lebih baik lagi, belajar menyayangi dan membahagiakanmu lebih baik lagi.

Isteriku, terima kasih atas segalanya. Terima kasih telah menjadi bahagian terbaik dalam hidupku. Terima kasih telah menjadi ibu yang baik untuk anak kita. Terima kasih untuk selalu bersyukur dan bersabar untuk berumah di “syurga yang sudah kita tahu”. 

Salam sayang, 
Hassan
Kuching, Sarawak.


No comments: