19 August 2015

Dia

Dia tanya suka dia atau tidak, aku menjawab dalam gelak-gelak. Aku fikir dia bergurau. Jadi untuk kurangkan malu dipersenda, aku katakan tidak. Dia tanya lagi. Aku ketawa lagi dan tiga kali pertanyaannya, jawapan sama kuberikan. Sekilas aku menjeling dia yang sedang memandu, riak mukanya seperti hampa.

Padaku, kalau sukakan aku kenapa bertanya? Kenapa tidak terus terang? Dia tahu aku tidak pernah rapat dengan sesiapa selain dia. Aku suka agamanya. Dia telah memenuhi utopia agamaku. Tetapi, aku telah berkata tidak. Malam itu hatiku banjir oleh kesal. Tuhan!

Semalam kami selisih waktu dia sedang mengurus anaknya membuat pendaftaran dan aku mengawas para petugas pada hari pendaftaran pelajar baru. Aku berpaling ketika mendengar satu suara yang sudah dua puluh tahun tak kudengar. Seorang lelaki memandangku. Ketika itu giliran anaknya ke kaunter. Aku menjeling nama di borang anaknya. Yakinlah aku lelaki itu, dia.

"Awak masih tak berubah saya yang tua. Dah uban," katanya sambil mengusap kepala, sewaktu anaknya naik ke tingkat dua menyerahkan borang. Dia tersenyum sipu. Senyuman yang pernah membuatkan hatiku ugah.

"Dah lama kerja sini? Awak kerja bahagian apa? Tak apalah, nanti call ya, ini kad saya." Katanya, sambil menghulurkan sekeping kad. Setelah itu dia memberi salam dan berlalu ke kawasan parking bersama anak lelakinya yang kelak akan jadi pelajarku. Aku menghantarnya dengan pandangan. Seperti aku menghantarnya ke kereta pada hari pekahwinannya, dulu.

Kali ini aku hanya mahu diam. Biarlah aku tidak berkata-kata kalau kata-kata itu melukai hati sendiri.

... bersambung.

p/s: Jangan terpedaya. Tulisan semata. Selamat malam semua. Bismillah

No comments: