13 October 2015

Cerpen - Jodhoh

Kak Mimah jemput aku datang pada hari ke lima. Malam itu selepas bacaan Quran beramai-ramai dan berjemaah Isyak, Kak Mimah sebagai kakak sulung memulakanbicara. Katanya, malam itu mereka akan bermesyuarat untuk pembahagian harta pusaka. Emaknya, Makji Som - sepupu emakku.

"Faraid, kita ikut faraid," tiba-tiba Amin bersuara datar. Aku yang baru siap meletakkan kain telekung ke dalam beg mencuri pandang ke muka Kak Mimah.
"Ya, tak ada masalah. Faraid ke, apa ke ... sekarang cuma kita berdua saja yang ada Min."
Tiga lagi adik beradik mereka, sudah meninggal. Ikut kata orang kampung kami, menolak pusaka. Tetapi, kata Kak Mimah harta itu kena juga dibahagikan kepada anak-anak gemulah Abang Sidin, Abang Muis dan Siti Saidah.
"Ginilah, saya ambik tapak rumah ni, tanah bendang dekat kubang tu dengan tanah kebun di Bukit Pak Dogol," tutur Amin sambil membelek geran tanah di tangan. Aku tengok Amin dah macam jurutera dalam carekarama pulak.
"Tapi gemulah ni kata, rumah dengan tapak rumah ni, dia serahkan pada akak. Lagipun mana akak nak pergi."
"Anak akak dah besar, dah makan gaji."
"Min, selama hidup akak, sinilah rumah akak. Dari muda akak duduk dengan mak. Lepas Abang Salim kau meninggal, rumah ini dengan emaklah dunia akak."
"Dah ... saya dah buat keputusan. Ikut faraid. Anak perempuan hanya dapat apa yang diehsani anak lelaki."
Kak Mimah diam. Aku nampak Raziah, isteri Amin macam senyum lepas. Aku bangun dan masuk ke dapur. Anak-anak saudara Kak Mimah serta anak-anaknya ikut ke dapur. Ipar-ipar Kak Mimah juga masuk bersamaku.
"Kenapa Paksu jadi macam tu, Cik Ana?" Soal Anisa anak gemulah Abang Sidin. Aku angkat bahu. Saudara-saudara iparku juga nampak kesal kerana mereka tahu, harta gemulah mentua mereka tidak banyak. Mereka tahu dan aku juga tahu dua tahun Makji Som terlantar sakit, ada dua tiga kali sahaja Amin balik. Sampai suatu hari Kak Mimah meminta aku menelefon Amin. Kata Kak Mimah, hanya aku yang boleh pujuk Amin.
"Awak dah nak balik?" Sapa Amin ketika aku sedang mencari-cari selipar di bawah sutuh.
"Sekarang saya tahu kenapa Allah tetapkan jodoh saya dengan mualaf," balasku antara dengar dengan tidak. Aku tidak mahu isterinya yang menjeling-jeling tadi mendengar perbualan kami.
"Awak tolak saya. Saya tak layak untuk awak. Hina sangat saya ni, kan?"
"Allah tahu, saya tak akan sekufu dengan orang tamak," tuturku sambil menyauk selipar dan kemudian berpaling meninggalkan dia menuju kereta.

No comments: