12 October 2015

Jodoh Pertemuan pt. 1

Aku hulurkan kad pengenalan. Dia menyambut dan menanda kehadiranku di buku di depannya kemudian menunjukkan hala seterusnya. Aku ambil kad pengenalan di tangannya. Dia mendonggak. Pandangannya sayu. Sangat sayu. Perlahan dia bersuara, "baru sampai?"
Aku angguk dan senyum kemudian bergerak ke arah penjaga kertas undi yang telah sedia menghulurkan dua keping kertas. Siap menanda dan memasukkan kertas undi ke peti yang disediakan, aku melangkah keluar dari bilik darjah yang dijadikan pusat mengundi itu. Sempat aku memandangnya seimbas. Aku nampak dia masih memandangku. Sekali lagi aku senyum. Barangkali saja kebetulan pengundi lain sudah tiada. Waktu mengundi pun sudah hampir tamat.
"Dia pernah cakap dengan mak dulu. Katanya dia sukakan kamu tapi mak tak kasi. Mak tanya balik dia, bila masanya dia tanya? Hmmm ... berani cakap bila dah menikah, sebelum menikah penakut heber."
Waktu aku di tingkatan lima dan dia di tingkatan enam atas. Kami sama-sama satu bas ke sekolah. Dia selalu pandang aku tetapi tidak pernah menegur. Aku perasan itu tapi aku tak mahu dikata perasan. Jadi aku buat-buat tak reti lagipun siapalah aku dalam kalangan kawan-kawan. Bukan cantikpun. Miskin pula. Dia selangkah saja lagi untuk sampai universiti. Jadi, aku mesti masuk universiti juga.
"Dia tanya kamu, minggu lepas."
"Tanya apa?"
"Dia kata, kalau tak dapat jadi suami kamu muda sama muda, dia nak jugak menikah dengan kamu sekarang."
"Mak ..."
"Kamu tahu isteri dia meninggal dah nak dekat setahun, kan?"
"Mak, saya balik ni sebab nak bagitahu mak ... lusa Azam nak datang. Kami cadang nikah hujung bulan ni."
Mata emak terbulat. Aku kemudian menyambung, "mak, Cikgu Zawaie bukan jodoh saya, kut. Mak pernah cakap, jangan hidup dalam sejarah. Biar sejarah jadi kenangan. Dia cuma kenangan."
"Kamu tak kesian dia?"
"Ya, saya pernah suka Cikgu Zawaie tapi saya tak nak mungkir janji. Kami barangkali ada pertemuan bukan jodoh."
Telefon berdering. Aku segera mencapai telefon di meja. Nama Azam menari-nari di skrin. Ketika itu ada orang memberi salam. Aku menjenggah ke tingkap.
Cikgu Zawaie?

- bersambung.

#cerpen
#janganemo
#bukankisahkita
#bukanmenantupilihanmakawak

No comments: